Beraksi di bawah suhu 33 darjah Celsius di Geloro Bung Karno langsung tidak merencatkan momentum pasukan negara untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dan meledak 33 gol keseluruhan.

Kemenangan bukan sahaja meletakkan Malaysia sebelah kaki ke separuh akhir, malah cukup istimewa buat Kumar, 39, yang memegang rekod penjaga gol paling banyak mewakili Malaysia.

“Berbanding pemain posisi lain yang mudah untuk mencapai 300 cap (penampilan), bagi penjaga gol angka itu sesuatu yang membanggakan.

“Jumlah perlawanan itu hanya untuk yang rasmi, saya percaya angka itu akan lebih banyak jika dicampur dengan yang tidak rasmi.

“Ia satu penghormatan buat saya dan menaikkan semangat untuk memburu emas. Jika saya masih sihat serta cergas sudah tentu saya ingin terus beraksi dalam Sukan Olimpik 2020 andai diberi kepercayaan,” kata Kumar.

Azlan Misron pemain paling banyak mewakili Malaysia - 350 kali.

Detik istimewa Kumar semalam turut diraikan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Malaysia, Stephen Van Huizen berkata, biarpun jaringan yang terhasil kali ini tidak sebanyak dua perlawanan terdahulu - membelasah Kazakhstan 16-2 dan Thailand 10-0, namun dia gembira dengan aksi pemainnya di bawah cuaca terik.

“Mereka telah melakukan yang terbaik dalam cuaca panas. Kami harus mengekalkan kemenangan terutama bertemu Pakistan untuk muncul juara kumpulan.

“Bagi saya jumlah gol juga penting kerana ia turut diambil kira untuk menentukan juara kumpulan,” katanya.

Muhammad Razie Abd. Rahim meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-18 dan ke-22, manakala lima lagi jaringan disempurnakan Muhammad Amirol Aideed Mohd. Arshad pada minit ke-28, Faizal Saari (m-31), Joel Samuel Van Huizen (m-38), Nabil Fiqri Mohd. Noor (m-44) dan Muhammad Firhan Ashari di minit ke-60.

Malaysia akan menentang juara lapan kali, Pakistan, Ahad ini sebelum bertemu Oman dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 28 Ogos.