Kuartet yang dibarisi Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan itu membuat catatan tahunan terbaik iaitu 39.37s untuk berakhir di kedudukan ketujuh daripada lapan kuartet, pada aksi di Carrara Sports and Leisure Centre, hari ini.

Catatan itu bagaimanapun gagal menyamai rekod kebangsaan yang dilakukan mereka di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 iaitu 39.27s.

"Kita tidak boleh jangkakan kemenangan dalam acara ini, cukup sekadar boleh lakukan catatan masa lebih baik sudah bagus dan kami berjaya perbaiki catatan tahunan baharu buat kali kedua pada kejohanan ini.

"Pencapaian okey tapi kami harap dapat betulkan lagi apa yang silap dalam pasukan ini. Macam dalam peringkat saringan semalam, silap kami adalah dari segi pertukaran baton tapi kali ini kami tidak pasti lagi," kata Khairul Hafiz.

Khairul Hafiz berkata analisis mengenai perlawanan hari ini akan dibincangkan bersama-sama jurulatih mereka iaitu Mohd. Poad Md. Kassim dan M. Balamurugan sambil menambah, ia akan digunakan untuk memastikan pasukannya tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali untuk aksi pada kejohanan seterusnya.

Pingat emas acara itu menjadi milik kuartet England dengan catatan masa 38.13s diikuti Afrika Selatan (38.24s) dan Jamaica (38.35s), masing-masing meraih pingat perak dan gangsa. - BERNAMA