Dalam perlawanan yang mempertemukan dua kelab gergasi MHL itu, KLHC dan THT terikat 3-3 dalam permainan sebenar. Kemenangan ini merupakan kali pertama KLHC merangkul Piala Tan Sri P. Alagendra.

Skuad bimbingan Lim Chiow Chuan itu bagaimanapun diberi tentangan sengit sebelum berjaya menebus kekecewaan 2017 lalu.

Dengan mereka menurunkan keenam-enam pemain import mereka masing-masing, kedua-dua pasukan agak berhati-hati pada awal permainan sehinggalah THT lebih dulu memecah kebuntuan.

Dua gol padang pada suku pertama dan kedua menerusi Pablo Javier Trevisan dan Manhaj Singh seakan meletakkan THT selesa di depan namun KLHC berjaya bangkit menerusi dua gol yang berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jang Jung-hyun dan Mohd. Syamim Mohd. Yusof pada suku ketiga.

Joshua Pollard terus meletakkan KLHC di depan buat kali pertama namun kemudian dinafikan oleh penalti stroke Gonzalo Peillat untuk THT mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.