Kemenangan ini bukan sahaja memberikan gelaran pertama buat KLHC sejak 2013, malah membolehkan mereka menamatkan liga musim ini dengan rekod 14 perlawanan tanpa kalah.

Dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu, tiga gol KLHC diperolehi menerusi Dedy Aryadi Jumaidi minit ketujuh, Nabil Fiqri Mohd. Noor minit ke-43 dan Anton Poul Fritz Ebeling minit ke-60.

Dua jaringan THT pula disempurnakan oleh Jang Jonghyun pada minit kesembilan serta Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil di minit ke-51.

Sementara itu, Gol tunggal pemain Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Muhammad Najmi Farizal Jazlan membolehkan pasukannya menamatkan aksi Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL 2017) di tangga ketiga selepas menang 1-0 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pada aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu menyaksikan perlawanan lebih banyak didominasi oleh TNB berbanding UniKL.

Malah TNB memperoleh tujuh pukulan sudut penalti namun gagal mendapatkan gol sekali gus terpaksa menerima kekalahan tersebut.

Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, pujian wajar diberikan kepada pemain kerana usaha mereka terbalas dengan kemenangan ini.

“Bahagian pertahanan bermain dengan amat baik kerana dapat menyekat beberapa percubaan pasukan lawan bagi mendapatkan jaringan.

“Saya harap kemenangan ini dapat meningkatkan moral pemain bagi aksi separuh akhir Piala TNB nanti,” kata Arul.

Pada perlawanan tersebut Muhammad Najmi meraih jaringan pada minit ke-12 hasil pukulan sudut penalti.

Kekalahan TNB itu menyebabkan mereka hanya mampu menamatkan aksi liga di kedudukan keempat dengan 25 mata ketinggalan satu mata daripada UniKL yang berada di tangga ketiga.