Cabaran itu dilontarkan selepas pasukan hoki negara berjaya me­layakkan diri secara merit ke kejohanan Piala Dunia 2018 di India.

Katanya, cabaran itu dibuat kerana beliau mahu melihat skuad kebangsaan kembali berada dalam kelompok sepuluh pasukan terbaik dunia.

“Kita semua berbangga kerana pasukan hoki berjaya layak secara merit ke Piala Dunia bukan secara teknikal.

“Cabaran selepas ini adalah dalam Sukan SEA 2017 tetapi cabaran utama mereka adalah Sukan Asia kerana pemenang pingat emas akan mendapat kelayakan automatik ke Sukan Olimpik.

“Saya bukan sahaja mahu melihat mereka bermain dalam Piala Dunia tetapi dalam Sukan Olimpik juga dan pada masa sama mengembalikan kegemila­ngan sukan hoki negara. Saya percaya perkara ini mampu dicapai,” katanya ketika berucap dalam Majlis Tajaan Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku penaja emas Kuala Lumpur 2017, di sini hari ini.

Harapan skuad hoki untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Rio 2016 tidak kesampaian selepas tunduk 1-4 kepada Ireland dalam aksi penentuan tempat kelima Liga Hoki Dunia di Belgium pada 2015.

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam Sukan Olimpik ialah pada 2000 di Sydney dan Malaysia menamatkan persaingan di kedudukan ke-11.

Sementara itu, Khairy mene­gaskan, barisan atlet negara yang beraksi dalam Sukan SEA 2017 memerlukan mentaliti untuk menang bagi membantu kontinjen negara mencapai sasaran muncul juara keseluruhan temasya dwitahunan itu.

Katanya, persiapan dari segi tek­nikal dan kekuatan fizikal masih belum mencukupi tanpa disertakan dengan semangat ingin menjadi juara.

“Ketika kem fasa akhir kita akan menekankan mentaliti kemenangan buat atlet kerana itu yang sangat penting sekarang. Dari segi teknikal, latihan, fizikal mereka semua berada dalam tahap terbaik.

“Sekarang ini sama ada mereka mempunyai kemahuan untuk menang ataupun tidak kerana kemahuan itu sangat penting kerana mereka mesti masuk ke dalam gelanggang dengan kemahuan mahu menang, kerana dengan mentaliti itu apa juga kemungkinan akan menjadi kenyataan,” katanya.