Pengorbanan perancang utama skuad negara itu, apabila sanggup meninggalkan anaknya, Muhammad Adam Zafran di wad NICU (penjagaan intensif untuk bayi), Hospital Serdang untuk bersama Malaysia Tigers sangat berbaloi, dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan penalti stroke pada minit ke-33 bagi meletakkan pasukan negara di landasan terbaik untuk layak ke final.

Terdahulu, Fitri terpaksa pulang ke Malaysia selepas menerima perkhabaran anaknya, Adam yang berada di Hospital Serdang dalam keadaan kritikal, namun dia mengambil keputusan kembali menggalas tanggungjawab negara dalam pemburuan Piala Asia setelah doktor mengesahkan keadaan anaknya semakin baik.

Sementara itu, jurulatih negara, Stephen Van Huizen mengakui pemainnya sedikit leka pada minit awal perlawanan sehingga memberikan gol pendahuluan kepada pasukan lawan.

“Perlawanan hari ini, kita bermula dengan kurang baik apabila gawang dibolosi seawal 30 saat masa permainan bermula. Namun semangat juang yang tinggi dipamerkan pemain walaupun ketinggalan dua kali jelas menjadi kunci kemenangan.

“Ya...perlawanan yang sukar untuk kita (hari ini). Bermain pada pukul 3 petang dengan suhu panas pasti memerlukan persediaan yang rapi dan pemain perlu bersedia sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Dalam aksi pertama itu, pujian harus diberikan kepada anak buah Stephen yang mempamerkan kebangkitan dua kali daripada ketinggalan sebelum memenangi aksi pertama saingan tersebut.

Baru bermula aksi perlawanan, skuad negara dikejutkan Pakistan seawal minit pertama menerusi gol padang yang disempurnakan oleh Muhammad Umar Bhutta namun berjaya disamakan Razie Rahim sembilan minit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti.

Memasuki suku kedua perlawanan, pasukan negara sekali lagi ketinggalan apabila Muham mad Yaqoob berjaya menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada minit ke-19, sebelum Shahril Saabah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-25 sebelum jaringan kemenangan Fitri pada minit ke-33.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam saingan Piala Asia adalah meraih tangga ketiga.

Lawan seterusnya skuad negara adalah menentang Korea Selatan, esok sebelum bertemu India pada 21 Oktober dengan dua pasukan terbaik akan berentap dalam final.