Ketiadaan beberapa pemain utama seperti Mohd. Marhan Mohd. Jalil, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin dan Faiz Helmi Jali bakal menjadikan kempen skuad negara dalam Sukan Komanwel kali ini lebih mencabar.

Malaysia Tigers diundi bersama jaguh Asia, India, England, Pakistan dan Wales dalam Kumpulan B, manakala Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan dan tuan rumah Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Scotland.

Berdasarkan ranking dunia, India selaku juara Asia 2017 berada di anak tangga keenam berbanding England tujuh, Malaysia 12, Pakistan 13 dan Wales 24.

Australia pula kedua dalam ranking dunia, manakala New Zealand kelapan, Kanada No. 11, Afrika Selatan No. 15 dan Scotland No. 23.

Ini bermakna, Malaysia Tigers perlu mendapatkan dua tempat teratas di peringkat kumpulan untuk mengesahkan slot separuh akhir, sekali gus memperbaiki kedudukan ketujuh yang dicatat di Glasgow, Scotland pada 2014.

Walaupun undian tersebut dilihat sukar buat skuad bim­bingan Stephen, namun jurulatih tersebut tetap positif dengan kemampuan pasukannya terutama selepas mempamerkan aksi meyakinkan ketika kempen Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh awal bulan ini.

Malaysia beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah dengan status underdog berikutan menghuni tempat ke-12 dunia.

Dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir, 10 Mac lalu, Malaysia Tigers meraih dua kemenangan ke atas pasukan berkedudukan lebih baik iaitu Ireland dan Argentina.

Paling membanggakan ialah apabila Malaysia berupaya me­nundukkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina 2-1 pada peringkat awal sekali gus membuka mata dunia bahawa skuad negara tidak boleh dipandang mudah.

Cabaran yang dihadapi oleh skuad negara sepanjang kempen di Ipoh telah memberi pengajaran berguna buat Malaysia Tigers untuk dijadikan bekalan menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast.

Kata Stephen, semua pemainnya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam kempen Sukan Komanwel pada awal bulan depan.

“Kami masih memerlukan masa untuk melihat beberapa kelemahan pasukan selepas tamat kejohanan ini dan saya percaya semua itu dapat diperbaiki sebelum memulakan persaingan dalam Sukan Komanwel nanti. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pasukan sepanjang Piala Sultan Azlan Shah,” katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Komanwel ialah meraih pingat perak ketika negara menjadi tuan rumah pada 1998.