Semalam KLHC tewas 2-4 kepada TNB iaitu dua hari selepas dinobat sebagai juara Piala Sumbangsih 2018 pada Jumaat lalu.

Jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan berkata, pasukannya kini tidak boleh menoleh ke belakang sebaliknya terus berusaha mendapatkan lebih banyak kemenangan sepanjang kempen MHL musim ini.

“Pujian wajar diberikan kepada pemain TNB atas kemenangan yang mereka peroleh.

“Hakikatnya kami tidak bermain dengan baik dan gagal memanfaatkan peluang sebaiknya ,sekali gus menyukarkan pasukan kami.

“Bagi saya tiada alasan atas kekalahan ini dan kami harus memandang ke hadapan selain belajar daripada kesilapan.

“Masih ada banyak lagi perlawanan bakal dilalui dan diharap kekalahan ini mampu menjadikan kami lebih kuat lagi,” kata Chiow Chuan.

Dalam saingan liga minggu ini KLHC di jadual menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada Rabu ini dengan misi mahu mendapatkan kemenangan.

Semalam, UniKL meraih kemenangan besar 6-0 menewaskan Maybank dan ia juga adalah kemenangan pertama pasukan itu selepas dua perlawanan berlangsung.

Ketika ini kedudukan pendahulu Divisyen Perdana MHL diisi oleh TNB dengan tiga mata manakala THT berada di tangga kedua dengan tiga mata.

Sementara KLHC berada di kedudukan kelima dengan satu mata manakala UniKL di tangga ketiga berkongsi tiga mata de­ngan pasukan tangga keempat TNB Thunderbolt dan Maybank berada di tempat keenam tanpa sebarang mata.