Perlawanan terpaksa dibawa ke penalti shootout selepas Jepun bangkit menyamakan kedudukan 6-6 beberapa saat sebelum perlawanan masa sebenar berakhir.

Sejak kali pertama hoki dipertandingkan dalam Sukan Asia pada 1958, Malaysia Tigers tidak pernah meraih pingat emas dan keputusan hari ini mengulangi pencapaian pingat perak dimenangi di Guangzhou pada 2010.

Lebih memilukan, kini Malaysian Tigers harus melalui jalan mencabar untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 berikutan terlepas slot automatik menerusi Sukan Asia 2018.

Kali terakhir skuad hoki negara ke Sukan Olimpik ialah pada 2000 di Sydney, Australia yang menyaksikan Malaysia menamatkan persaingan di tempat ke-11 daripada 12 peserta.

Malaysia mendahului selesa 3-1 pada awal perlawanan namun Jepun adalah Jepun yang tidak mengenal erti putus asa dan menyamakan kedudukan 6-6 ketika permainan berbaki beberapa saat.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit kelima hasil pukulan sudut penalti (pc), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-10, ke-11 dan minit ke-58 (pc), Faizal Saari pada minit ke-16 (pc) serta Muhammad Amirol Aideed Mohd. Arshad pada minit ke-49.

Sementara enam gol Jepun dijaringkan menerusi Seren Tanaka pada minit kelapan, Kenta Tanaka pada minit ke-22 dan 52 (pc), Kentaro Fukuda minit ke-51, Koji Yamasaki minit ke-57 (pc) dan Hiromasa Ochiai pada minit ke-59 (pc).

Pingat gangsa menjadi milik India yang berjaya menewaskan Pakistan 2-1 dalam perebutan tempat ketiga. – UTUSAN