Muhammad Razie Abdul Rahim muncul pemain paling menyerlah apabila meledak lima gol, kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh, 33, 42, 47 dan 55.

Skuad Malaysia Tigers yang menghuni ranking ke-12 dunia kini mencari tiga lagi kemenangan daripada baki empat perlawanan Kumpulan B untuk menjamin tempat ke separuh akhir.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen gembira melihat anak-anak buahnya membuka kempen dengan jaringan besar kerana keputusan itu akan menjadi penyuntik semangat sebelum berdepan aksi lebih sukar selepas ini.

“Kita harus kekalkan momentum kerana selepas ini Malaysia akan berdepan lawan yang jauh lebih mencabar.

“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan persembahan semua pemain termasuk ketika melakukan pukulan sudut penalti dan menyerang.

“Menentang Thailand selepas ini kami harus mempamer rentak yang lebih baik bagi mendapatkan keputusan yang baik,” kata Stephen.

Dalam perlawanan itu, Faizal Saari membuka jaringan Malaysia seawal minit pertama menerusi pukulan sudut penalti, sebelum menambah dua gol peribadi pada minit ke-42 dan 51.

Selain Muhammad Razie dan Faizal, turut mencatat nama sebagai penjaring adalah Faiz Helmi Jali (m-5), Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-8, 12), Muhammad Shahril Saabah (m-19, 20), Meor Muhamad Azuan Hasan (m-22), Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (m-30) dan Tengku Ahmad Tajuddin (m-37).

Gol Kazakhstan pula diperoleh menerusi pukulan penalti stroke pada minit ke-13 hasil jaringan Aman Kaz Yelubayev dan Ilgam Abdulabayev pada minit ke-54.

Malaysia akan menentang Thailand dalam aksi kedua, Rabu ini. - UTUSAN ONLINE