India masih berada di landasan untuk memburu gelaran juara kali kelima mereka dalam kejohanan ini selepas menang 4-3 ke atas Jepun dan kini telah me­ngumpul tujuh mata selepas empat perlawanan.

Bekas jurulatih Belanda, Oltmans berkata semua perlawanan adalah amat penting buat pasukannya dan mereka akan berusaha mendapatkan kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Memang tidak diragui bahawa Malaysia adalah pasukan yang hebat di Asia, malah mereka juga mempunyai kekuatan yang sukar untuk dijangka.

“Kami akan terus fokus dalam perlawanan menentang Malaysia nanti dalam masa sama percaya aksi bakal berlangsung sengit,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan di sini, hari ini.

Dalam perlawanan menentang Jepun hari ini, India hampir dimalukan oleh Blue Samurai yang mendahului 2-1 sebelum skuad bimbingan Oltmans mempamerkan kebangkitan dramatik pada suku keempat untuk menang 4-3.

Empat gol India dijaringkan oleh Rupinder Singh pada minit keenam dan hatrik daripada Mandeep Singh pada minit ke-45, ke-51 dan ke-58.

Jepun pula memperoleh gol hasil jaringan Kazuma Murata minit ke-10, Heita Yoshihara minit ke-43 dan Genki Mitani minit ke-45.

Dalam perlawanan terakhir liga Jumaat ini Jepun dijadual menentang pasukan No.2 dunia Australia.