India dilihat tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam aksi Kumpulan C malah keputusan tersebut mampu menaikkan motivasi pasukan terbaik Asia itu bagi memburu gelaran Piala Dunia di laman sendiri.

“Saya bangga dengan kemenangan ini malah lebih membuatkan saya teruja apabila pasukan berjaya menamatkan aksi tanpa dibolosi pasukan lawan.

“Ini adalah petanda positif buat kami,” kata Harendra Singh.

Dalam perlawanan tersebut lima gol India hadir menerusi pukulan sudut penalti daripada Mandeep Singh pada minit ke-10 sebelum Akashdeep Singh meledak gol padang dua minit selepas itu.

India terus menguasai perlawanan tanpa sebarang masalah hingga berupaya menambah gol ketiga pada minit ke-43 menerusi Simranjeet Singh hasil jaringan padang sebelum Lalit Upadhyay menjadikan kedudukan 4-0 dua minit selepas itu juga hasil jaringan padang.

Gol kelima India dijaringkan oleh Simranjeet Singh pada minit ke-46 hasil pukulan sudut penalti. - UTUSAN ONLINE