Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada anak didik Stephen van Huizen kerana berjaya mencipta sejarah baharu dengan muncul naib juara dalam kejohanan tersebut sekali gus memperbaiki pencapaian terbaik sebelum ini iaitu meraih tempat ketiga pada 2007 setelah menewaskan Jepun 5-3 di India.

Dibolosi dua gol pada awal permainan ternyata menjadi punca kegagalan skuad negara untuk membalas dendam kalah 6-2 kepada India dalam peringkat Super 4 pada Khamis lalu, apabila bekas juara Olimpik itu mendahului 2-0 seawal minit ketiga dan 29.

Selepas India memperoleh gol padang menerusi Ramandeep Singh, Malaysia Tigers kembali mengatur rentak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu India untuk mencari gol penyamaan, namun dihukum dengan gol kedua lawan menerusi Lalit Upadhyay.

Memasuki suku kedua perlawanan, Muhammad Shahril Saabah menghidupkan harapan Malaysia apabila berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi gol padang pada minit ke-50 sekali gus menyuntik semangat skuad negara yang kemudian mencipta beberapa peluang dalam kawasan D namun gagal menembusi kekebalan benteng India yang utuh bertahan.

Terdesak untuk mencari gol penyamaan, Stephen menukar strategi dalam dua minit terakhir, dengan sekali lagi mengeluarkan penjaga gol S. Kumar dan menggantikan dengan kapten negara Muhammad Sukri Abdul Mutalib untuk mencari gol penyamaan tetapi pasukan terus buntu untuk menyempurnakan peluang terhidang dalam bentuk jaringan.

Biarpun kalah tetapi skuad Malaysia tetap melakar sejarah baharu dalam arena hoki negara apabila layak ke pentas final Piala Asia buat kali pertama sejak 1982.

Malaysia turut memperoleh hadiah sagu hati apabila penyerang Faizal Saari meraih anugerah Pemain Terbaik selain berkongsi trofi Penjaring Terbanyak bersama-sama pemain India, Harmanpreet Singh selepas masing-masing menjaringkan tujuh gol.