Jurulatih skuad Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen berkata, dia perlu melihat situasi semasa di venue pertandingan terlebih dahulu esok berikutan baharu tiba di sini, hari ini.

Tambah Stephen, pasukan harus bersedia dengan segala kemungkinan termasuk isu jerebu agar tidak menjejaskan kesihatan pemain.

“Esok petang kita akan cuba sesuaikan diri dengan tempat pertandingan dalam masa sama lihat situasi jerebu di sini ketika ini.

“Antara langkah berjaga-jaga yang saya fikirkan adalah memastikan semua pemain minum air lebih banyak agar tidak menjejaskan prestasi mereka.

“Buat masa ini kami semua berada dalam keadaan yang amat baik cuma mungkin perlu membiasakan diri dengan tempat penginapan disini supaya lebih selesa,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Atlet di Kemayoran, sini hari ini.

Dua hari sebelum pembukaan Sukan Asia 2018, tuan rumah berdepan isu keadaan kualiti udara yang tidak begitu baik malah dilaporkan kebakaran hutan di Palembang juga sudah bermula.

Skuad hoki lelaki negara akan memulakan kempen pada 19 Ogos ini hingga 1 September 2018 di Padang Hoki GBK.

Malaysia yang menghuni ran­king ke-12 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Oman dan Thailand manakala Kumpulan A terdiri daripada India, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Hong Kong.

Pencapaian terbaik skuad lelaki negara dalam penyertaan Sukan Asia ialah berada di kedudukan kedua pada 2010 di Guangzhou, China, apabila tewas 0-2 kepada Pakistan sewaktu saingan akhir.