Kejayaan bersejarah itu bermakna peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di London kini semakin cerah.

Malaysia yang terikat 2-2 de­ngan Itali selepas tamat permai­nan sebenar kini akan berdepan Ireland yang mara ke final selepas menewaskan Wales 2-0.

Pasukan negara sebelum ini kalah 1-2 kepada Ireland di pe­ringkat kumpulan.

Namun, kejayaan melangkah ke saingan akhir bermakna salah satu daripada dua slot automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang ditawarkan menerusi WHLR2 di Kuala Lumpur sudah menjadi milik Malaysia Tigress.

Malah peluang Malaysia untuk beraksi pada Piala Dunia 2018 juga boleh dikatakan cerah terutama apabila dapat menempah slot pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia sama ada di Belgium atau Afrika Selatan.

Mengikut sistem kelayakan baharu ke Piala Dunia yang diumumkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 2015, sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada kejohanan berprestij itu.

Setiap juara bagi lima kejohanan benua Asia, Eropah, Amerika, Oceania dan Afrika akan layak secara automatik termasuk tuan rumah Piala Dunia manakala baki 10 lagi slot diberikan menerusi aksi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dengan keutamaan berdasarkan keputusan diraih serta ranking.

Dalam aksi separuh akhir malam tadi skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bermula seimbang biarpun Itali terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi Maria Garraffo minit ke-10 hasil gol padang.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Fazilla Sylvester Silin sewaktu minit ke-13 sebelum Itali kembali mendahului hasil jaringan sudut penalti, Agata Wybieralska minit ke-18.

Gol penyamaan Malaysia hadir menerusi Hanis Nadiah Onn minit ke-26 sebelum aksi penentuan penalti shoot-out yang memihak skuad wanita negara.

Skuad hoki wanita negara belum pernah beraksi pada Piala Dunia sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada 1974.