Kata Muhammad Dharma, sasaran tersebut dilihat realistik buat pasukan yang akan berusaha mendapatkan slot kelayakan ke Piala Dunia 2018 menerusi kejohanan di Jepun itu.

“Kami akan bertemu dengan China untuk perlawanan pertama dalam masa sama saya tidak mengetahui adakah China akan membawa pasukan utama mereka atau tidak kerana mereka telah layak ke Piala Dunia 2018 dan seandainya mereka membawa pasukan utama ini bermakna kami bakal berdepan dengan perlawanan yang berkualiti.

“Saya telah melihat skuad yang akan dibawa oleh India dan akan bertemu mereka untuk perlawanan terakhir kumpulan, jika kami boleh menewaskan pasukan India maka kami akan menamatkan aksi kumpulan di kedudukan kedua.

“Sekiranya situasi itu berlaku bermakna kami berkemungkinan besar akan bertemu pasukan Thailand yang mungkin akan menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga di belakang Korea Selatan serta Jepun, di hadapan Kazakhstan dan peluang untuk layak ke separuh akhir untuk pertama kali akan menjadi kenyataan,” kata Muhammad Dharma kepada pemberita dalam sidang akhbar pengumuman 18 pemain skuad wanita untuk Piala Asia 2017 di sini, hari ini.

Dalam Piala Asia 2017, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama China, India dan Singapura manakala Kumpulan B terdiri daripada pasukan Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Kazakhstan. - UTUSAN ONLINE