Kejohanan yang dikelolakan Persatuan Hoki Johor itu terbahagi kepada Kumpulan A dan Kumpulan B yang masing-masing akan mempunyai lima dan empat pasukan.

Kumpulan A melibatkan Johor, Terengganu, Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Kumpulan B melibatkan Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Angkatan Tentera.

Mengejutkan kerana pasukan dari Kedah, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang sebelum ini banyak menghasilkan pemain hoki untuk negara pada masa lalu tidak mengambil bahagian.

Jurulatih Johor, Gurmit Singh berkata, negeri tersebut menyasarkan untuk mara ke pusingan separuh akhir kejohanan tersebut walaupun menyedari terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Beliau yang juga bekas Penolong Jurulatih Pasukan Kebangsaan berkata, Johor tidak pernah melangkah jauh dalam kejohanan itu sebelum ini, namun kali ini yakin mampu berbuat demikian.

“Mampu beraksi hingga ke separuh akhir akan menjadi satu pencapaian besar untuk pasukan Johor. Pasukan Terengganu, Pahang, Selangor, Angkatan Tentera dan Negeri Sembilan merupakan peserta bermusim dan selalu bermain dengan baik dalam kejohanan veteran sebelum ini.

“Kita mempunyai pasukan seimbang, namun kelebihan tersebut tidak akan memberi laluan mudah untuk kita menewaskan pasukan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, faktor umur, kondisi dan keadaan cuaca yang panas semasa kejohanan tersebut berlangsung akan menjadi penentu untuk pasukan negeri ini melangkah ke separuh akhir. - UTUSAN ONLINE