SUBAHAN KAMAL

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pengumuman tersebut adalah satu berita gembira berikutan usaha dan pencapaian cemerlang skuad kebangsaan akhirnya membolehkan mereka disenarai dalam program elit tersebut.

Tambah Subahan, dia percaya prestasi skuad hoki negara mampu meningkat ke tahap lebih baik lagi selepas mendapat bantuan dan kepakaran sains sukan yang disediakan dalam Program Podium.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana memberikan hoki peluang berada dalam Program Podium.

“Kami akan berusaha membalas kepercayaan ini dengan keputusan cemerlang bagi membuktikan bahawa pemilihan hoki adalah satu keputusan tepat.

“Dalam masa sama saya percaya dengan pengumuman ini semua pemain negara yang telah berjuang untuk negara bagi mendapatkan kejayaan pasti merasa lebih dihargai,” kata Subahan.

Program Podium memberikan sejumlah 24 slot untuk pemain skuad hoki lelaki negara yang bakal disenaraikan oleh MHC.