Bangkit daripada kekalahan mengejut 1-2 kepada Jepun, skuad bimbingan Chris O'Reilly mempamerkan aksi bertenaga dan hasilnya berjaya memperoleh jaringan awal pada minit ke-8 menerusi gol padang yang disudahkan Hayden Beltz.

Alec Rasmussen menambah jaringan buat Australia menerusi gol padang yang disempurnakan pada minit ke-26.

Ketinggalan dua gol, Malaysia cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang menerusi gol padang yang dijaringkan Muhammad Haikal Hasrin minit ke-37.

Momentum yang dimiliki skuad bimbingan Nor Saiful Zaini ranap apabila Australia menambah jaringan pada ke-44 hasil jaringan Damon Steffens.

Australia terus menggandakan serangan ke arah gawang Malaysia dan hasilnya berjaya mencipta dua gol yang dijaringkan Jake Staines menerusi gol padang pada minit ke-45 dan Coby Green yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Steffens melengkapkan kemenangan bergaya Australia apabila meledak gol kedua peribadi pada perlawanan itu pada hujung permainan menerusi pukulan sudut penalti.

Dalam perlawanan terdahulu, Jepun menunjukkan belang dengan merekodkan kemenangan kedua kejohanan selepas menewaskan Great Britain 2-1.

Jaringan Kosei Kawabe menerusi gol padang pada minit ke-10 diikuti gol Raiki Fujishima menerusi penalti pada minit ke-29 memberikan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Hiroki Sakamoto.

Gol tunggal Britain dijaringkan Stuart Rushmere hasil pukulan sudut penalti pada lewat babak pertama.

Sementara itu, juara dua kali, India turut mengukir kemenangan kedua kejohanan setelah membelasahkan New Zealand 7-1. 

Shilanand Lakra menjaringkan dua gol manakala Prabhjot Singh, Hermanjit Singh, Mohd. Faraz, Abhishek dan Mandeep Mor masing-masing menyumbat satu gol bagi melengkapkan pesta gol skuad bimbingan Jude Felix. - UTUSAN  ONLINE