Atlet wanita serba boleh, Gladys Chai mengalungkan Malaysia dengan dua emas menerusi acara lompat tinggi dan pentatlon, masing-masing dengan catatan 1.65 meter dan 3,278 mata.

Patricia Chan dan Elaine Sng menyumbangkan tujuh emas renang wanita sesama mereka untuk tuan rumah, kesemuanya menerusi 100, 200, 400 dan 800 meter gaya bebas, 100 dan 200 meter kuak lentang serta 200 meter rampaian individu.

Namun dalam 100 meter gaya bebas, persaingan sengit mereka terus dirasai walaupun sehingga selepas perlumbaan. Terlalu kecewa kerana kalah 0.12 saat kepada Patricia, Elaine terus berendam di kolam agak lama selepas semua peserta meninggalkannya.

Sukan SEAP ini menampilkan ‘Trio Gadis Emas Singapura’ - Heather Merican, Glory Barnabas dan Eng Chiew Guay. Heather menjuarai 100 meter bepagar dengan catatan 14.8 saat manakala Chiew Guay sepantas 12.5 dalam 100 meter.

Namun yang paling dikenang ialah Glory apabila pelari veteran yang sebelum ini sudah mengumpul perak 1965, tiga gangsa 1967 dan tiga perak 1969, berjaya mengungguli 200 meter setelah menewaskan pelari Burma, Than Than dengan tipis, 25.6 saat.

Kehandalan pelari pecut Thailand, Anat Ratanapol terus terserlah dengan mencatat hatrik emas dalam 100 meter (10.5 saat), 200 meter (21.3 saat) dan 4x100 meter (40.7 saat) di balapan olahraga Stadium Nasional.