Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata cadangan berkenaan akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Penilaian Program Podium selepas berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Beliau menjelaskan program berkenaan yang dilancarkan tahun lepas mengamalkan konsep pintu terbuka kepada mana-mana atlet kebangsaan mahupun sesebuah pasukan berdasarkan prestasi semasa masing-masing.

Program Podium adalah inisiatif jangka panjang yang disusun rapi untuk memastikan atlet negara mencapai kecemerlangan di pentas dunia termasuk pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia merupakan satu kebangkitan yang baik di bawah pengurusan terkini," kata Khairy pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Olimpik Sedunia di sini, hari ini.

Turut hadir pada sambutan berkenaan ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja''afar dan beberapa bekas atlet kebangsaan.

Malaysia menempah tiket ke Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 selepas menewaskan India 3-2 pada aksi suku akhir saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, semalam.

Kejayaan mara ke separuh akhir sudah memadai untuk skuad kebangsaan kendalian Stephen Van Huizen beraksi di Piala Dunia buat kali kelapan. Untuk rekod, Malaysia pernah beraksi dalam tujuh edisi hoki Piala Dunia - 1973, 1975, 1978, 1982, 1998, 2002 dan 2014.

Dalam pada itu, Khairy menggesa pasukan hoki wanita yang kini bersaing pada pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) di Brussel, Belgium supaya menjadikan kejayaan tersebut sebagai contoh terbaik untuk mengulangi pencapaian sama.

"Saya mengucapkan selamat berjuang kepada mereka (hoki wanita) dan terus kekalkan prestasi serta mencontohi apa yang telah dibuat pasukan lelaki," ujarnya.

Skuad wanita kebangsaan kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah masih belum mencatatkan sebarang kemenangan setelah tewas 0-3 kepada juara tiga kali Sukan Olimpik, Australia pada 21 Jun dan kalah 1-3 kepada Sepanyol pada aksi kedua kumpulan B, awal pagi tadi. - BERNAMA