Di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hingga 22 Mac, 18 pemainnya, malah jurulatih dari Kanada, Patrick MacDonald rela mengorbankan masa, tenaga dan wang serta meninggalkan kerjaya dan keluarga untuk memburu cita-cita dan sejarah besar sukan Malaysia - sebuah negara beriklim Khatulistiwa yang tidak bermusim sejuk.

Dua tahun lalu, mereka sudah pun memahat sejarah kemunculan sulung skuad hoki ais Malaysia pada Sukan Musim Sejuk Asia di Changchun, China malah Piala Cabaran 2008 menyaksikan kejayaan yang menakjubkan dan lebih besar dengan bergelar naib juara di Hong Kong.

"Kami membentuk skuad hoki ais Malaysia atas dasar bekerjasama dan semangat sukarela walaupun kadangkala terpaksa mengeluarkan wang perbelanjaan sendiri. Minat terhadap sukan yang cukup asing di Malaysia ini turut mengukuhkannya.

"Mungkin sukan lain yang menyediakan macam-macam elaun tertentu kepada atletnya tetapi kami sebaliknya. Tentulah pelik mengapa masih ada pemain yang setelah mengerah tenaga dengan teruk, sanggup pula menyumbangkan wang untuk membiayai persediaan pasukan ini, bukan?

"Di Changchun, kami bukan sahaja mencatat sejarah kali pertama bermain perlawanan sebenar antarabangsa bahkan menang sulung ke atas Hong Kong 7-3 dan kali ini kami berazam ke Abu Dhabi dengan kejayaan yang lebih baik," kata pengurus pasukan, Susan Loh di Sunway Pyramid Ice Rink, Subang Jaya.

Dalam Piala Cabaran di Abu Dhabi, Malaysia menganggotai Kumpulan A dengan Thailand, Mongolia, India manakala tuan rumah membentuk Kumpulan B dengan Hong Kong, Macau dan Singapura. Dua pasukan teratas kumpulan bakal ke separuh akhir.

Malaysia menduduki tempat kelapan Sukan Musim Sejuk Asia di Changchun setelah dikalahkan Korea Selatan 14-1 dalam perlawanan Kumpulan D dan Korea Utara 15-0 dan Kuwait 10-2 (penentuan tempat keseluruhan).

Ketika itu mereka dibimbing Alexander Kam sebelum muncul naib juara Hong Kong di bawah MacDonald, tahun lalu dengan menewaskan tuan rumah 4-2, Singapura 2-1, seri Thailand 2-2, mengalahkan Macau 4-0 dan ditewaskan Chinese Taipei 5-2.

Skuad kali ini mengekalkan kesemua pemain tahun lalu kecuali Tan Kay Seng dengan antara tonggak mereka ialah Chew Jeen Sern, Jamil David Ahmad Mokhtar dan Loke Ban Kin yang menuntut dan berpengalaman bermain hoki ais di peringkat kelab Australia, Switzerland dan Sweden.

Kata MacDonald: "Jika dulu tiada siapa yang memberikan perhatian kepada pasukan ini tetapi setelah mencipta kejutan memenangi perak dan Ban Kin dipilih Pemain Terbaik tahun lalu, mungkin ramai yang melihat kamilah pasukan yang perlu ditewaskan."