Pengurus Pertandingan MHC, Brian Fernandez berkata, langkah ini bertujuan mencegah mana-mana negara tuan rumah yang memohon pengecualian peraturan rujukan video itu sehingga FIH terpaksa akur untuk meniadakannya langsung dalam kesemua siri berkenaan, tahun ini.

“Bagi Pusingan Akhir Siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, tahun ini, MHC tiada pilihan selain terpaksa akur dengan keputusan FIH sebab ini kejohanan anjuran mereka.

“Hanya selepas ini, barulah kami akan cuba tulis kepada FIH minta seragamkan semula peraturannya.Hari ini pun sudah 15 April, sudah suntuk dan tiada gunanya untuk rayu FIH.

“Kami terima sahaja peraturan tanpa video rujukan itu sebagai adil buat semua pasukan dan tuan rumah Pusingan Akhir Siri FIH (termasuk India, 6 hingga 16 Jun dan Perancis, 15-23 Jun),” katanya.

Sementara itu penyerang muda negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang ditemukan pada sesi latihan di stadium, menyifatkan ketiadaan video rujukan itu bakal lebih banyak mendedahkan keputusan kontroversi pengadil perlawanan.

“Penglihatan pengadil tidak selalunya tajam. Kadang-kadang mereka boleh buat keputusan yang salah,” katanya yang bagaimanapun tetap menyahut cabaran MHC yang masih meletakkan sasaran menjuarai Pusingan Akhir Siri FIH ini.

Bagi Norsyafiq Sumantri, semua pasukan memang akan terkesan dengan ketiadaan video itu.

“Ada kejadian macam sama ada bola terkena kaki pemain dalam kawasan D, mungkin boleh merugikan peluang sesebuah pasukan mendapatkan gol menerusi sudut penalti,” ujarnya.

Mereka dalam pada itu turut mengalu-alukan kehadiran semula jurulatih sudut penalti dari Belanda, Taki Takiema bagi mengasah peluang pasukan meraih gol mudah di Bukit Jalil apabila berdepan China, Brazil dan Itali dalam Kumpulan B.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan selepas ketiga-tiga Siri FIH ini akan layak ke peringkat seterusnya dalam memburu tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang Malaysia telah terlepas akibat kalah perlawanan akhir Sukan Asia Ke-18, tahun lalu.- UTUSAN ONLINE