UniKL bakal kehilangan empat pemain import - penjaga gol dari Ireland, David Harte selain trio dari Belanda, Robbert Kemperman, Valentin Verga dan Martijn Havenga, susulan peraturan Persekutuan Hoki Eropah (EHF) tidak membenarkan pemain beraksi pada EHF, beraksi pada liga lain bermula 1 Mac ini.

"Satu kekurangan buat kami pada perlawanan akhir adalah kami mungkin kehilangan khidmat empat pemain import, tetapi saya masih berharap ada keajaiban akan berlaku dan mereka dapat turun beraksi esok.

"Kami telah mengemukakan rayuan untuk terus mendapatkan khidmat mereka dan masih menunggu keputusan yang akan diketahui selewat-lewatnya awal pagi esok," jelas Arul pada sidang media pra-perlawanan akhir di sini, hari ini.

Berbeza pula pandangan disuarakan kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil yang memaklumkan beliau serta rakan sepasukan sudah bersedia memberi aksi terbaik walaupun ketiadaan empat pemain import itu yang menjadi tonggak kekuatan pasukan berkenaan dalam saingan Liga Hoki Malaysia pada musim ini.


"Kami sudah mengetahui perkara ini lebih awal, jadi setiap pemain telah bersedia sepenuhnya, dan untuk aksi final. Apa perlu kami lakukan adalah beraksi pada tahap paling terbaik selain kami mahu memburu kejuaraan.

"Jika kami dapat menjulang kejuaraan Piala TNB esok, ia satu bonus buat kami kerana sebagai pemain apa yang kami sasarkan pastinya untuk mendapatkan kejuaraan berganda," jelas pemain skuad senior kebangsaan itu.

Dalam pada itu, pengendali THT, I. Vikneswaran menegaskan pasukannya fokus untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir esok tanpa menghiraukan sama ada UniKL dapat menggunakan khidmat empat pemain import atau sebaliknya.

"Kami lebih suka untuk memikirkan perkara berada dalam kawalan kami, jadi sama ada pemain import mereka boleh beraksi atau tidak ia bukan dalam kawalan kami, dan kami tidak mahu memikirkan perkara tersebut," jelasnya.

Nada sama turut disuarakan kapten THT, Mohd Fitri Saari yang menuntut rakan sepasukan memberikan aksi terbaik berdepan UniKL yang memburu kejuaraan berganda selepas muncul juara liga, baru-baru ini.

"Kami tidak kisah sama ada empat pemain import mereka akan beraksi atau tidak, tetapi apa yang penting kami perlu beraksi pada tahap paling terbaik dan sebagai ketua pasukan saya selalu mengingatkan rakan seperjuangan lain untuk sentiasa memberi persembahan terbaik," kata pemain skuad senior kebangsaan itu.

UniKL mara ke final Piala TNB selepas mencatat kemenangan agregat 9-1 ke atas Maybank, manakala THT meraih keputusan agregat 8-3 ke atas TNB pada satu lagi aksi separuh akhir.

TNB dan Maybank akan berentap untuk aksi penentuan tempat ketiga/keempat pada 3 petang, disusuli aksi final antara UniKL dan THT pada 5 petang.- BERNAMA