Hanis, 21, berkata, dia amat terkejut dengan anugerah ter­tinggi dalam karier sebagai pemain hoki.

Malah, dia turut mengakui anugerah tersebut membuatkannya lebih bersemangat untuk meraih kecemerlangan buat negara selepas ini.

“Sebelum ini saya meraih anugerah pemain remaja terbaik dalam saingan Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua Wanita pada Januari lalu dan hari ini meraih anugerah sebagai pemain terbaik Asia pula.

“Saya tidak menjangkakan terpilih memenangi anugerah ini kerana ramai calon lain yang lebih hebat.

“Selepas ini saya akan cuba untuk tingkatkan prestasi bagi menghadapi Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga,” kata Hanis.

Hanis adalah penyerang hoki wanita pertama Malaysia memenangi anugerah itu selepas mengatasi beberapa bintang muda yang pernah beraksi di pentas Olimpik dari India, China, Korea Selatan dan Jepun.

Pada 2016, Hanis yang turut beraksi bersama Terengganu beraksi cemerlang apabila membantu Malaysia, yang berada di ranking ke-21 dunia meraih kemenangan ke atas pasukan No.10 dunia, Jepun 2-0 pada Trofi Juara-Juara Asia 2016.

Dalam pada itu, Hanis turut mengakui, pengiktirafan di pe­ringkat Asia membuatkan dia tidak boleh memandang mudah setiap tugasan yang bakal dipikul.

“Tekanan pasti ada selepas menerima anugerah ini kerana ini bukan anugerah yang biasa-biasa dalam masa sama akan menjadi tumpuan ramai pemain lawan.

“Selepas ini saya perlu bersedia dan memastikan prestasi sentiasa berada di tahap ter­tinggi,” katanya lagi.