Kata Hafizuddin, ketika ini terdapat tiga penjaga gol yang perlu bersaing bagi berada dalam skuad kebangsaan ke London, dua lagi pemain hebat iaitu S. Kumar serta Hairi Abdul Rahman.

Tambah Hafizuddin, sekiranya dia diberikan peluang, maka kepercayaan tersebut akan dibalas dengan sebaiknya kerana sedar bukan senang berada dalam skuad utama negara.

“Saya sudah bersedia dengan cabaran merebut tempat ke London biarpun perlu bersaing dengan pemain hebat yang ada.

“Dalam masa sama saya juga percaya telah memberikan yang terbaik buat pasukan ketika aksi kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh bulan lepas serta aksi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, dua bulan lalu.

“Tumpuan saya kini adalah untuk ke London kerana kejohanan tersebut amat penting buat pasukan kebangsaan,” kata Hafizuddin.

Dalam aksi di London, skuad negara yang berada di ranking ke-14 dunia, akan berdepan pasukan nombor satu dunia Argentina, Korea Selatan (ke-12), China (18) dan tuan rumah, England yang kini di kedudukan ketujuh dalam Ranking Dunia FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa).

Sementara, penyandang juara Eropah, Belanda akan mengetuai cabaran Kumpulan B bersama-sama juara Asia iaitu India, Pakistan, Kanada dan Scotland dalam kejohanan di Pusat Tenis dan Hoki Lee Valley di England.