Oltmans dijangka mengumumkan senarai 18 pemain ke Piala Dunia di India Isnin ini malah mungkin ketika ini seakan sukar membuat pilihan untuk posisi penjaga gol terutama apabila S. Kumar dikatakan masih dibelenggu dengan kecederaan keretakan tangan kanan.

Selain Kumar dan Muhammad Hafizuddin, seorang lagi penjaga gol yang berada dalam kem latihan skuad kebangsaan ialah Hairi Abdul Rahman dan kemungkinan besar hanya dua terbaik daripada mereka akan dibawa ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India pada 28 November ini.

“Saya sedar jurulatih akan memilih yang terbaik bagi mewakili Malaysia dalam Piala Dunia namun peluang masih ada buat semua penjaga gol sebelum senarai akhir 18 pemain diumumkan.

“Saya juga berharap prestasi terbaik saya ketika kempen Liga Hoki Dunia 2 di Bangladesh pada tahun lepas akan menjadi pertimbangan jurulatih.

“Terpilih beraksi dalam skuad kebangsaan untuk kempen Piala Dunia 2018 adalah satu impian buat semua pemain termasuk saya yang telah 55 kali membuat penampilan bersama Malaysia di pentas antarabangsa,” kata Muhammad Hafizuddin.

Malaysia Tigers diundi dalam Kumpulan D sewaktu kempen Piala Dunia 2018 bersama Jerman, Belanda dan Pakistan.

Berdasarkan format kejohanan tiga pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan melangkah ke pusingan seterusnya.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kempen Piala Dunia ialah meraih tempat keempat pada 1975 di Kuala Lumpur.