Beliau turut menujukan kejayaan istimewa itu buat seluruh warga UniKL, terutama barisan kepimpinan yang sentiasa memberikan sokongan padu.

Selepas sembilan tahun mengidamkan kejuaraan, UniKL akhirnya dinobat sebagai juara selepas menewaskan Maybank 2-1 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi hari ini.

Kemenangan membolehkan UniKL berada di tangga teratas dengan kelebihan empat mata di depan pasukan tangga kedua, Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika aksi liga masih berbaki satu perlawanan.

Arul berkata, kejuaraan ini adalah hasil usaha mereka yang berada di belakang tabir pasukan terutama Presiden UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud dan Presiden Kelab Hoki UniKL, Datuk Amir Azhar Ibrahim.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini dan UniKL sememangnya layak bergelar juara selepas segala usaha dan sumbangan yang dicurahkan.

“Fokus kami selepas ini adalah usaha mempertahankan Piala TNB. Kami mungkin menggunakan aksi terakhir liga untuk merehatkan beberapa pemain utama,” kata Arul.

Dalam perlawanan itu, Maybank meraih gol awal menerusi Mohamad Zulhanizam Awang Abas pada minit keempat.

Bagaimanapun, penguasaan mereka tidak bertahan lama apabila UniKL bangkit me­nyamakan kedudukan menerusi gol padang pemain Rafizul Ezry Mustafa pada minit ke-26.

Dua minit selepas itu pemain import UniKL, Velentin Verga meledak gol kedua juga menerusi jaringan padang.

UniKL akan menentang TNB Thunderbolt dalam perlawanan terakhir liga, Jumaat ini untuk melengkapkan jadual.