Kemenangan itu adalah kali kedua bagi Great Britain selepas menjuarai kejohanan itu menerusi penentuan penalti ke atas India pada perlawanan akhir pada 2015.

Pada perlawanan malam ini, India tidak menunggu lama untuk mencipta gol sulung sebaik perpawanan bermula apabila pukulan deras Gursahibjit Singh pada minit keempat terus menerjah ke gawang lawan.

Tersentak dengan asakan India, Great Britain terus menggandakan asakan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan padang Daniel West selang tiga minit kemudian.

Terikat 1-1, kedua-dua pasukan kemudian buntu mencari mata pemisah pada suku kedua perlawanan meskipun berjaya memperoleh beberapa peluang.

Walau bagaimanapun, usaha keras anak buah Jon Bleby yang terus menggasak kubu lawan pada suku ketiga perlawanan membuahkan hasil apabila James Oates menjaringkan gol kedua Great Britain pada minit ke-39.

Oates sekali lagi muncul wira pasukan selepas menyumbangkan gol kedua peribadinya pada perlawanan itu pada minit ke-42.

India yang tidak berputus asa akhirnya berjaya memperoleh gol kedua menerusi Abishek pada minit ke-55 namun sudah terlewat apabila kedudukan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Terdahulu, pada perlawanan sebelah petang bagi penentuan tempat ketiga dan keempat, juara bertahan, Australia menumbangkan Jepun 6-1 manakala Malaysia menewaskan New Zealand 6-3 bagi penentuan tempat kelima dan keenam.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh wakil rasmi Sultan Johor, iaitu Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE