Skuad Malaysian Tigers yang sudah pun mengesahkan tempat ke peringkat ‘Super 4’selepas membelasah China 7-1 dan menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 membuka tirai jaringan seawal minit ke-16 menerusi Mohd. Faizal Saari, sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil menjadikan kedudukan 2-0, dua minit kemudian.

Pada minit ke-20, Shahril Saabah menjaringkan gol ketiga negara menerusi pukulan sudut penalti dan Tengku Ahmad Tajuddin meledak gol keempat, tiga minit kemudian.

Faizal kemudian menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan itu pada minit ke-27 dan Muhammad Amirol Aideed Arshad serta Muhammad Najmi Farizal Azlan melengkapkan tujuh jaringan Malaysia pada minit ke-40 dan 42.

Jaringan saguhati Oman disempurnakan Salmeen Al Nofali pada minit ke-25.

“Jelas sekali kami kehilangan kreativiti Fitri (Saari) dan ketiadannya membuatkan pemain lain terpaksa bekerja lebih keras.

“Marhan (Mohd. Jalil), Nabil (Fiqri Mohd. Noor), Aideed, Azri (Hassan) juga memiliki kekuatan tersendiri tetapi secara keseluruhannya mereka perlu bekerja keras kerana kami kekurangan satu pemain untuk penggiliran.

“Dalam perlawanan hari ini juga kami hanya menggunakan Sukri (Abdul Mutalib) selama kira-kira empat minit kerana mahu melindunginya untuk aksi separuh akhir nanti,” kata jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Korea Selatan mengiringi Malaysia ke peringkat Super 4 selepas muncul naib juara Kumpulan B manakala India mara selaku juara Kumpulan A, diikuti Pakistan selaku naib juara.

Peringkat ‘Super 4’ melibatkan dua pasukan teratas dari Kumpulan A dan B yang akan bermain secara round robin untuk merebut tempat ke perlawanan akhir. - UTUSAN ONLINE