Arkitek skuad negara itu kini berdepan situasi sukar ekoran keadaan anaknya yang kritikal ketika ini akibat paru-paru dijangkiti kuman namun dalam masa sama tidak mengakui semangatnya tetap tinggi untuk membantu negara mencipta sejarah baharu dalam kempen Piala Asia yang kini memasuki peringkat kedua.

Pemain dari Terengganu itu berkata, sekiranya keadaan Muhammad Adam Zafran yang berusia lima bulan stabil, dia sedia kembali ke ibu negara Bangladesh itu untuk bersama-sama rakan sepasukan namun jika sebaliknya berlaku maka dia akan terus berada di sisi anak dan isterinya.

“Saya agak sedih sebab anak saya masih dalam keadaan kritikal dengan pernafasan dia begitu pantas seperti selepas berlari 100 meter.

“Dia sebelum ini dimasukkan di wad NICU (penjagaan intensif untuk bayi) dalam sebulan lebih dan keluar selama dua minggu sebelum dirujukkan kembali untuk temu janji kedua dan ketika itu doktor telah menjalankan pemeriksaan rapi dan mengesahkan terdapat jangkitan kuman di paru-parunya menyebabkan ditahan lagi tiga bulan lebih di hospital.

“Keputusan untuk kembali ke pasukan bergantung kepada keadaan anak saya, jika dia kembali stabil saya akan terbang semula ke Dhaka kerana tiket telah ditempah oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetapi jika keada­an tidak berubah saya akan berada di sini menemaninya,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang, hari ini.

Mohd. Fitri sebelum ini berada di Dhaka bersama skuad kebangsaan untuk mengharungi kempen Piala Asia sejak Rabu lalu hingga 22 Oktober ini, sebelum pulang semalam ke tanah air selepas mendapat perkhabaran keadaan anaknya yang kritikal.

Skuad hoki negara belum pernah meraih sebarang pingat sepanjang menyertai kempen Piala Asia dengan pencapaian terbaik adalah kedudukan keempat dan jika mereka berjaya meraih pingat maka akan menjadi satu sejarah baharu untuk skuad tersebut.

Fitri berkata, peluang untuk mencatat sejarah baharu membuatkan dia berhasrat untuk bermain dengan pasukan negara yang diharapkannya melangkah ke perlawanan akhir.

“Apapun saya akan sentiasa mendoakan kejayaan pasukan dan berharap mereka bermain untuk maruah, diri sendiri dan juga buat rakyat Malaysia. Buktikan pemain hoki mempunyai semangat tinggi.

“Jika pasukan negara melangkah ke final, saya berhasrat untuk ke sana, bermain dan balik hari serta akan beri apa saja untuk anak saya,” jelasnya.