Katanya, MHC memang sanggup untuk memikul tanggungjawab itu namun masih bergantung kepada keputusan skuad negara yang perlu muncul antara dua teratas Pusingan Akhir siri berkenaan yang bermula esok di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

“MHC telah pun mendapat tawaran FIH dan saya yakin kita memang sanggup dan layak menjadi tuan rumah play-off terakhir ke Olimpik 2020 itu selepas turut disenarai pendek sebagai antara calon hos Piala Dunia 2022.

“Ada negara yang mungkin rankingnya lebih baik tetapi tidak sanggup tetapi kita terima dengan hati terbuka jika diberi peluang itu oleh FIH,” katanya selepas solat hajat dan majlis membaca Yasin bersama skuad negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mengenai aksi sulung Malaysia dengan Brazil malam esok, Subahan berkata, Malaysian Tigers harus memanfaatkan segala peluang dengan sebaiknya dalam usaha mendapatkan jaringan.

“Kita kena ambil peluang ini untuk menang dengan jumlah gol yang besar kerana kita tahu di atas kertas, Brazil bukanlah seperti pencabar terkuat kumpulan ini, China.

“Dalam mana-mana kejohanan, memang apa-apa boleh berlaku tetapi saya fikir gol yang besar itu juga satu strategi yang bijak jika berlaku seperti Piala Dunia, tahun lalu apabila perbezaan gol menjadi penentu kemaraan pasukan,” katanya.

Subahan turut yakin dengan kehadiran dan sokongan padu peminat hoki tempatan di Stadium Hoki Nasional walaupun Pusingan Akhir Siri FIH ini akan disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen TV swasta, setiap hari.

“MHC telah menyediakan beberapa acara sampingan kejohanan ini sebagai daya penarik kehadiran mereka dan saya cukup yakin sokongan mereka bakal muncul dalam setiap perlawanan pasukan negara,” katanya.

Sementara itu kapten negara, Sukri Mutalib berkata, keputusan empat perlawanan pemanas badan Brazil, baru-baru ini yang kurang memuaskan dengan tiga kekalahan dan seri sekali tidak boleh dijadikan ukuran kemampuan sebenar mereka.

“Saya agak gusar jika kami boleh jadi terlalu yakin dengan keputusan itu. Mungkin perlawanan itu hanya mereka gunakan sebagai menguji dan menyesuaikan diri dengan suasana, padang dan cuaca di sini.

“Walau apa pun, matlamat penting kami ialah menang dan berapa banyak gol yang dihasilkan bakal muncul daripada prestasi terbaik yang kami cuba paparkan pada hari perlawanan,” katanya.

Sukri juga bersama pasukan negara yang kali terakhir menentang Brazil dalam perlawanan persahabatan empat tahun lalu di Belanda yang dimenangi mereka 3-2. - UTUSAN ONLINE