Pemain itu yang meraih gela­ran penjaga gol No.1 Asia pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Singapura, baru sahaja kembali menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan selepas tidak menyertainya sejak November lalu kerana perlu menjalani kursus latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, dia perlu meningkatkan stamina dan ketangkasannya dalam tempoh yang sangat singkat, selain perlu segera memahami taktikal permainan yang diterapkan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

“Liga Hoki Dunia... memang ada tekanan untuk saya kekalkan gelaran yang diraih, sudah pasti saya kena beraksi dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya mengakui memang susah nak kejar balik (sesi latihan yang tertinggal), dah sebulan lebih saya tidak berlatih, dalam tempoh yang singkat ini saya kena cepat belajar.

“Sekarang ini jurulatih lebih tertumpu kepada kecergasan saya dan menerapkan segala taktikal permainan bagi membolehkan saya membaca situasi permainan,” katanya yang sudah sembilan tahun bersama skuad kebangsaan.

Farah Ayuni menerima penghargaan sebagai penjaga gol terbaik Asia selepas tampil cemerlang sepanjang kejohanan di Singapura terutama sewaktu Malaysia mencipta kejutan terbesar menewaskan juara bertahan, Jepun 2-0 yang menghuni ran­king ke-10 dunia pada aksi terakhir kempen tersebut.

Pada kempen WHLR2, skuad wanita negara diundi bersama Hong Kong, Ireland dan Kazakhs­tan dalam B, manakala Kumpulan A dihuni Itali, Wales, Singapura serta Thailand.

Sementara itu, Farah Ayuni memberitahu, Ireland dan Itali merupakan pasukan tumpuan dalam saingan kali ini kerana kedua-dua pasukan itu memiliki pukulan sudut penalti yang sa­ngat baik, selain agresif ketika melakukan serangan.