Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), K. Logan Raj berkata, setakat ini skuad se­nior akan terus kekal dengan 25 pemain dan tiada nama tambahan atau muka baharu yang akan dipanggil lagi.

“Faizal akan menamatkan penggantungannya 14 Jun ini jadi (penyertaan semula ke dalam skuad negara) tertakluk kepada hukuman itu. Sehingga ada semakan semula, kami akan kekal dengan 25 pemain dalam senarai skuad senior sekarang,” katanya.

Faizal digantung enam bulan sejak Disember lalu kerana ponteng sesi latihan namun ‘bisanya’ tetap menyerlah apabila memenangi anugerah Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir ketika membantu Terengganu menjuarai Piala Tun Abdul Razak Ke-53 baru-baru ini.

Ekoran kecemerlangannya itu, ketua jurulatih negara Stephen van Huizen dikatakan telah memohon MHC menamakan semula penyerang yang pernah bermain di Australia dan India itu, sebagai persediaan awal menghadapi Trofi Juara-juara Asia di Kuantan Oktober ini.

Logan ditemui selepas pelancaran laman sesawang Hoki 1Mas di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil oleh Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh untuk membantu pembangunan pemain dan jurulatih di negara ini, di sini hari ini.

Sepanjang tempoh penggantungan Faizal, 25, skuad negara sekadar menduduki tempat keempat Piala Sultan Azlan Shah Ke-25 di Ipoh, Perak, April lalu selepas ditewaskan New Zealand menerusi pukulan penalti 5-4.