Dalam masa sama, beliau juga percaya, skuad lelaki dan wanita negara mampu melakar kejayaan pada temasya 18 Ogos hingga 2 September itu selepas mengumumkan senarai nama 18 pemain hari ini.

Muhammad Dharma dima­sukkan ke hospital semalam kerana berdepan masalah sistem penghadaman selepas pulang dari kem latihan dan siri pertan­dingan di Brisbane, Australia pada 30 Julai lalu.

“Dharma hanya menghadapi sedikit masalah berkaitan peng­hadaman dan kami telah me­minta (Pengarah Bahagian Perubatan Sukan dari Institut Sukan Negara) Dr Arshad Puji untuk memantau keadaan beliau.

“Kita akan ketahui statusnya esok selepas mendapat laporan imbasan dan skop,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pengumuman jalinan kerjasama antara MHC bersama VIK Network Sdn. Bhd. di Stadium Hoki Nasional, hari ini.

Kerjasama tersebut bakal menyaksikan skuad hoki lelaki dan wanita negara menggunakan kelengkapan sukan berjenama Adidas selepas kontrak dengan Kappa tamat bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Vik Network, I. Vikneswaran berkata, pihaknya mahu memastikan skuad hoki negara dapat menggunakan barangan dan peralatan terbaik, sama taraf dengan apa yang digunakan pasukan terbaik dunia lain.

Sementara itu, Subahan percaya kesemua 18 pemain skuad lelaki dan wanita yang disenarai ke Sukan Asia 2018 sudah bersedia memulakan kempen memburu sasaran masing-masing.

“Kami tidak campur tangan dalam urusan pemilihan pemain ke Sukan Asia dan memberi sepenuh kepercayaan kepada ketua jurulatih masing-masing.

“Saya percaya, semua yang dipilih adalah dalam kalangan terbaik dan sepatutnya tidak timbul sebarang isu,” katanya.