“Prestasi pasukan berada pada kedudukan terbaik dan semakin menunjukkan peningkatan. Pasukan ini sudah dibentuk sejak November tahun lepas bagi menghadapi kejohanan ini.

“Harapan kami untuk muncul pasukan berada di kedudukan keempat. Kami berharap dapat mempamerkan aksi terbaik,” kata jurulatih Brazil, Claudio Rocha kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengakui bukan satu tugas mudah daripada sebuah negara yang menjadikan bola sepak sebagai kegilaan bagi membentuk pasukan hoki terbaik di dunia.

“Kami menjadikan Sukan Olimpik Rio 2016 sebagai asas untuk membentuk pasukan dan membuat hoki popular di Brazil.

“Beberapa pemain kami beraksi di Belanda, London, Australia, Ireland serta Sepanyol. Agak sukar menguruskan pemain-pemain ini. Malah di Brazil, jarak dari satu tempat ke tempat lain juga beribu-ribu kilometer. Untuk mengumpulkan semua pemain bukannya mudah tetapi yang pasti prestasi kita semakin bagus,” katanya lagi.

Bagi menghadapi kejohanan ini, Rocha berkata 11 pemainnya pernah beraksi pada Sukan Olimpik 2016, dan tiga pemain adalah bawah 21 tahun.

Dalam aksi pembukaan Jumaat ini, Brazil yang menghuni ranking ke-27 dunia akan menentang tuan rumah yang juga pasukan No. 13 dunia, Malaysia, tugas yang dianggap Rocha amat mencabar.

“Malaysia antara pasukan terkuat dalam kejohanan ini, namun kami berjanji akan menampilkan aksi terbaik.

“Lawan kami banyak beraksi pada kejohanan antarabangsa sedangkan ini kali ketiga Brazil bermain pada kejohanan Terbuka.

“Kami pernah bermain dalam aksi kelayakan di Jepun pada 2012, kemudian Olimpik 2016 dan kini di sini.

“Pada kejohanan ini, tiga pasukan perlu diberikan perhatian adalah Malaysia, Kanada dan China. Kami berharap dapat bermain dengan baik menentang Itali (dalam Kumpulan B) serta berdepan Wales, Belarus dan Austria. Tahap permainan kami tidak banyak beza,” kata Rocha.

Brazil dan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama China dan Itali, manakala Kumpulan A terdiri dari Kanada, Austria, Wales dan Belarus. - BERNAMA