Menurutnya, tidak timbul soal Beng Hai meletak jawatan setelah gagal dalam misinya membawa Malaysia layak ke Olimpik pada pusingan kelayakan Dublin, Ireland mahupun MHC mengambil bertindak segera menyingkirkannya.

Nur Azmi mengakui pihaknya ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Beng Hai, namun dalam kandungan SMS tersebut tidak mengungkit hal peletakan jawatan.

"Dalam SMS itu, Beng Hai sekadar memohon maaf kepada MHC di atas kegagalan melaksanakan tanggungjawabnya.

"Dia langsung tidak menyatakan ingin meletak jawatan, dan MHC pula belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan jawatannya.

"Jadi dia bersama penolongnya Nur Saiful (Zaini) akan meneruskan tugasan seperti biasa selepas pemain skuad negara berehat selama seminggu," jelas Nur Azmi yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Nur Azmi berada di KLIA untuk menyambut kepulangan skuad negara dari Dublin. Hadir sama, bekas Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF), Tan Sri P. Alagendra.

Hasrat Utusan Malaysia mendapat ulasan mengenai masa depan daripada mulut Beng Hai sendiri bagaimanapun tidak berhasil apabila jurulatih berusia 47 tahun itu mengelak daripada bersemuka dengan media.

Para petugas media yang menanti penuh sabar kemunculan Beng Hai di Balai Ketibaan KLIA berasa hairan apabila hampir 20 minit selepas kesemua pemain dan pegawai meninggalkan KLIA, dia masih tidak kelihatan.

Hanya selepas bertanya kepada Nur Saiful kemudian, barulah petugas media diberitahu bahawa Beng Hai keluar menggunakan pintu lain.

Tidak diketahui sama ada dia benar-benar keluar mengikut laluan berasingan, atau menunggu sehingga semua petugas media beredar. Namun niatnya jelas, Beng Hai enggan bertemu media.

Alagendra dan Nur Azmi senada meminta media agar memahami rasa dukacita yang masih menghantui Beng Hai dan tidak menyalahkan tindakannya mengelak berjumpa media.

Dalam pada itu, Nur Azmi menegaskan perjuangan perlu diteruskan selepas kegagalan Malaysia ke Olimpik London.

Katanya, Malaysia akan menghadapi dua pertandingan akan datang, bermula dengan saingan jemputan di Lahore, Pakistan pada 9-13 April dan Piala Sultan Azlan Shah 24 Mei-6 Jun.