Jurulatih Sapura, Beng Hai di­gantung satu perlawanan ma­nakala Arul yang melatih skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerima hukuman gantung tiga perlawanan, menurut kenyataan MHL semalam.

Turut menerima hukuman adalah Pengurus Pasukan Sapura, Louis Gregory serta pemain UniKL, S. Selvaraju yang masing-masing digantung satu perlawanan atas kesalahan sama.

Hukuman ke atas mereka di­maklumkan oleh Pengarah Per­tandingan, Datuk G. Vijayanathan semalam.

Jelas Vijayanathan, Beng Hai dan Louis digantung kerana melakukan kesalahan itu sewaktu perlawanan menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada Ahad le­pas yang berkesudahan seri 4-4 manakala Arul serta Selvaraju melakukan kesalahan tersebut sewaktu pasukan mereka bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada hari yang sama.

Tambah Vijaya­na­than, kesalahan ber­ke­naan amat berat dan serius kerana tidak menghormati keputusan pengadil perlawanan, selain menggunakan kata-kata kurang baik kepada pegawai perlawanan.

“Kami mengambil serius tindakan yang bertentangan dengan keputusan muktamad pengadil. Biarpun pengadil melakukan kesilapan namun anda tidak boleh menggunakan kata-kata yang tidak baik kepada mereka, oleh itu kami mengenakan hukuman ke atas mereka.

“Arul dikenakan hu­kuman penggantungan tiga perlawanan kerana apa yang dilakukannya amat serius kerana menuduh pengadil mengatur perlawanan, tuduhan ini amat serius namun selepas memberi ruang kepada mereka memberi keterangan mereka memohon maaf dengan tindakan itu tetapi kami tetap hukum jurulatih dengan menggantung mereka untuk tiga perlawanan dan diberikan amaran serius,” kata Vijayanathan.

Ini bermakna pa­da Jumaat ini aksi Sapura menentang UnikL akan berlangsung tanpa jurulatih masing-masing sekali gus bakal menyukarkan dua kelab tersebut untuk merencana taktikal dalam perlawanan terakhir TNB-MHL 2015.

Arul juga tidak akan bersama pasukannya untuk dua perlawanan Piala TNB, yang dijadual bermula 11 September ini.