Jelas pemain berpengalaman berusia 39 tahun itu, yang telah membuat 305 penampilan bersama skuad kebangsaan, kemenangan ke atas Pakistan penting untuk memastikan Malaysia terus bernafas dalam kejohanan itu.

Tegasnya, Malaysian Tigers perlu mengetepikan dahulu ‘kecederaan teruk’ di­belasah Belanda 0-7 dan memberikan tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

“Saya tahu semua orang kecewa dengan prestasi kami dalam perlawanan pembukaan. Bagaimanapun ia sudah pun ber­akhir dan kami belajar daripada kekalahan tersebut. Jangan biar ia terus menghantui,” kata Kumar yang dipetik dalam laman web Konfederasi Hoki Malaysia.

Sabtu lalu, hasrat Malaysia untuk memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah positif bukan sahaja gagal, malah ­dibelasah juara tiga kali, Belanda di Stadium Kalinga.

Gergasi hoki Eropah itu langsung tidak menunjukkan simpati kepada Malaysian Tigers apabila menjadikan kawasan D negara sebagai medan berpesta gol.

Lebih memilukan, ini kekalahan ke-29 Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dalam 34 pertemuan menentang pasukan keempat terbaik dunia itu.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, mereka mempunyai peluang yang baik untuk me­ngalahkan Pakistan kerana prestasi kedua-dua pasukan tidak jauh beza.

“Kita tidak perlu takut kepada mereka. Kami menghormati Pakistan dan menyedari bahawa mereka juga mahu menang.

“Mereka juga tewas dalam aksi pembukaan serta memerlukan tiga mata untuk mara ke pusingan kedua.

“Pertemuan dengan mereka adalah penentuan hidup atau mati, namun saya percaya de­ngan skuad ini.

“Mereka tahu untuk menebus kekecewaan kami perlu bersedia menghadapi cabaran,” kata Kumar lagi.