Skuad hoki negara juga telah menyesuaikan diri dengan padang di Stadium Kalinga pada se­malam menerusi satu perla­wanan persahabatan ringkas menentang Perancis yang berkesudahan Malaysia tewas 0-1.

Ketua jurulatih skuad hoki ne­gara, Roelant Oltmans, berkata, pasukan telah melengkapkan segala persediaan menghadapi kejohanan besar itu dan kini semuanya adalah untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar terutama dalam aksi pertama Sabtu ini.

“Apa yang perlu kami lakukan ketika ini telah berjalan dengan lancar dan tiada lagi apa-apa perlawanan bakal dihadapi pasukan sehingga aksi pertama kami pada Sabtu ini.

“Kami harus merealisasikan segala perancangan menghadapi Belanda dan kami juga sedar ia bukan satu tugasan mudah buat pasukan.

“Buat masa ini saya tidak ma­hu pasukan memikirkan tentang pasukan lain yang ada dalam Kumpulan D selain fokus kepada Belanda sahaja.

“Pada Sabtu ini kami harus mendapatkan keputusan dan selepas itu kami harus segera memikirkan aksi kedua tanpa terlalu fikirkan perlawanan lepas,” kata Oltmans.

Berdasarkan rekod pertemu­an antara Malaysia dan Belanda menyaksikan pasukan negara yang berada di kedudukan ke-12 dunia hanya pernah meraih tiga kali kemenangan, dua seri ke atas lawan dalam 33 perlawanan manakala selebihnya memihak pasukan ranking keempat dunia itu.

Selain Belanda, Malaysia turut diundi dalam Kumpulan D bersama pasukan No.6 dunia, Jerman dan Pakistan di ranking ke-13.

Bagi melepasi aksi peringkat kumpulan, Malaysian Tigers harus menamatkan aksi dalam kelompok tiga terbaik.