Kali pertama Australia me­raih gelaran kejohanan tersebut ialah sewaktu penganjuran sulung pada 1983 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Pakistan 1-0 dalam saingan akhir.

Dalam aksi hari ini, Australia yang menghuni ranking No.1 dunia tidak berdepan masalah menewaskan England di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh biarpun pasukan nombor tujuh dunia itu cuba bermain secara bertahan sewaktu aksi akhir kejohanan.

Dua gol Australia dalam perlawanan itu dijaringkan menerusi pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan dengan baik oleh Blake Govers pada minit ke-38 dan Lachlan Sharp pada minit ke-53.

Gol tunggal England pula diraih menerusi Sam Ward pada minit ke-54 hasil jaringan padang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berangkat untuk menyaksikan perlawanan akhir di samping menyampaikan trofi kepada pasukan Australia yang diketuai oleh Mark Knowles.

Sementara itu, hasrat Malaysia untuk mengulangi kemenangan ke atas Argentina pada Selasa lalu tidak kesampaian apabila tewas 3-2 kepada skuad Los Leones dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Biarpun tewas namun skuad kebangsaan mencapai misi memperbaiki pencapaian tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan aksi di tempat kelima.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, semua pemain telah memanfaatkan kejohanan di Ipoh dengan sebaiknya sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2018.

“Masih ada beberapa kelemahan yang harus diperbaiki,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas tamat kejohanan di sini, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut dua gol Malaysia dijaringkan oleh Joel Van Huizen pada minit ke-24 hasil gol padang dan pukulan sudut penalti daripada Faizal Saari pada minit ke-27.

Tiga gol Argentina dijaringkan oleh Juan Lopez pada minit pertama perlawanan hasil gol padang dan pukulan sudut pe­nalti daripada Gonzalo Peillat pada minit ke-11 sebelum kapten, Pedro Ibarra menjadikan kedudukan 3-2 hasil pukulan sudut pe­nalti minit ke-49.