Pasukan No.2 dunia itu meraih kemenangan 3-2 ke atas Malaysia sekali gus menebus kembali re­putasi mereka yang tercalar sewaktu tewas 2-1 dalam aksi liga sepusingan kejohanan pada Selasa lalu.

Jurulatih Argentina, Rolando Rivero berkata, pasukannya telah menjangkakan saingan sengit daripada skuad Malaysia Tigers dan amat gembira dengan kemenangan tersebut.

“Jaringan lewat daripada Malaysia mungkin berlaku dan kami telah bersedia menghadapinya sewaktu perlawanan tadi (semalam).

“Bukan itu sahaja, kami juga telah bersedia untuk menghadapi aksi pukulan penalti shoot-out jika perlawanan terikat dengan keputusan seri.

“Kami anggap kejohanan ini sebagai medan persediaan buat pasukan kerana mahu mencuba beberapa pemain baharu.

“Dalam masa sama kami hadapi perlawanan menentang Malaysia tanpa dua pemain utama kerana mereka tidak sihat tetapi masih mampu mendapatkan keputusan yang bagus,” kata Rivero.

Argentina adalah pasukan yang bergantung kepada pemain individu seperti pakar pukulan sudut penaltinya Gonzalo Piellat.

Piellat muncul penjaring terbanyak dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2018 selepas meledak lapan gol yang kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti.