Menurut Vikneswaran, meskipun UniKL beraksi tanpa kelibat empat pemain import, namun, juara Liga Hoki Malaysia itu tetap dilihat mampu memberikan cabaran besar kerana dibarisi pemain berpengalaman.

Katanya, berbeza dengan UniKL, kebanyakan pemain THT tidak begitu berpengalaman beraksi di pentas final, tetapi, mereka menerapkan disiplin tinggi semasa di atas padang bagi mengelak berlakunya sebarang kesilapan.

“Kalau nak kata yakin (menentang UniKL yang beraksi tanpa empat pemain import) itu tidak juga kerana mereka ramai pemain berpengalaman.

“Pemain kami cuma beraksi sebaik mungkin dan elak melakukan kesilapan, ada antara mereka sanggup menggunakan badan masing-masing untuk menahan bola semasa bermain...seperti kamikaze dan mereka berjaya,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Vikneswaran berjaya menjulang trofi kejuaraan tersebut buat kali kelima dalam tempoh enam tahun.

THT membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun. Rakan senegaranya, Jung Man Jee terus meletakkan THT selesa di hadapan menerusi jaringan kedua juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

Kehilangan empat pemain import iaitu penjaga gol dari Ireland, David Harte, selain, trio Belanda, Robbert Kemperman, Valentin Verga dan Martijn Havenga, susulan peraturan Persekutuan Hoki Eropah (EHF) tidak membenarkan mereka beraksi jelas memberi kesan kepada UniKL dalam aksi, hari ini.

UniKL, bagaimanapun, berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-44, juga menerusi pukulan sudut penalti, namun, ia tidak mencukupi untuk membantu pasukan itu mengheret permainan ke penentuan penalti.

Man Jee yang meledakkan jaringan kemenangan pasukannya, mengakui sangat gembira kerana dapat membantu THT menjulang kejuaraan dalam edisi kali ini dan ia satu kemenangan yang sangat bermakna.