Harapan serta keyakinan itu disuarakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam majlis memperkenalkan para pemain THT (skuad lelaki) dan TLHT (skuad wanita) di Permai Hotel di sini malam tadi.

Menurut beliau, selain empat pemain dari Argentina itu, THT turut diperkuatkan dengan masing-masing seorang pemain import daripada Jerman dan Pakistan.

Empat bintang Argentina itu ialah Ganzalo Peillat, Joaqin Menini, Pablo Javier Trevisan dan Lopez Barreiros selain Ahmad Shakeel Butt (Pakistan) dan Moritz Erhard (Jerman).

“Kita percaya serta meletakkan harapan kepada pasukan THT untuk meneruskan kecemerlangan dalam liga hoki musim ini hasil gandingan mantap pemain tempatan dan import termasuk daripada Argentina,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap menyempurnakan majlis Memperkenalkan Pemain THT dan TLHT Liga Hoki Malaysia TNB/MHL 2018 di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, seramai 22 pemain skuad THT dan 14 pemain TLHT yang bakal beraksi dalam liga hoki kali ini dirai serta diperkenalkan kepada umum.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu; Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafrudin Ali Hussin dan Naib Presiden I Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Solah Fikri Abu Bakar.

Sementara itu, Menteri Besar dijangka meluang masa menyaksikan perlawanan hoki Liga TNB/MHL dan Piala Sumbangsih antara THT menentang KL Hockey Club di Padang Hoki Batu Buruk pukul 5 petang ini. - UTUSAN ONLINE