ABDUL AZIM MOHD. ZABIDI
ABDUL AZIM MOHD. ZABIDI

Program Podium adalah program penyediaan atlet elit untuk mempersiapkan mereka dengan sasaran memenangi pingat emas pertama negara dalam Sukan O­limpik 2020 di Tokyo kelak dan skuad hoki lelaki negara telah membuktikan mereka layak dimasukkan ke dalam program itu hasil kejayaan yang dicapai kebelakangan ini.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, skuad hoki lelaki telah membuktikan kepada pihak Program Podium bahawa mereka berhak disenaraikan apabila berjaya mencipta sejarah muncul naib juara Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh pada bulan lalu.

“Kami harap hoki akan terus mempamerkan kecemerlangan dengan sasaran spesifik adalah meraih pingat emas Sukan Asia 2018 untuk membantu Program Podium mencapai misi (mele­takkan kontinjen negara) dalam kelompok sepuluh terbaik temasya itu.

“Sebanyak 24 atlet mereka akan disenaraikan dalam Program Podium dan satu perbincangan dengan pihak Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) juga akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan senarai pemain yang mereka inginkan ber­ada dalam program,” katanya ketika mengumumkan senarai atlet dan sukan yang terpilih ke dalam program itu untuk pemilihan bagi siri ketiga 2018 hari ini.

Hoki dan menembak adalah antara 22 sukan baharu yang tersenarai ke dalam Program Podium bagi siri Januari 2018 yang kini menaungi 146 atlet secara ke­seluruhan. Dua sukan iaitu renang para dan memanah para pula dikeluarkan daripada senarai.

Azim turut berkata, pihak­nya memperketatkan pemilihan de­ngan meletakkan syarat atlet di­pilih bukanlah seorang perokok.

“Satu lagi syarat baharu pemilihan kali ini ialah di dalam Program Podium atlet yang merokok tidak dibenarkan berada dalam senarai dan pegawai ISN akan menjalankan ujian ke atas atlet untuk melihat sama ada mereka merokok atau tidak,” katanya.

Sementara itu harapan Kesa­tuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk melihat raja pecut 100 meter negara Khairul Hafiz Jantan dipilih menyertai program itu tidak kesampaian kerana kedudukan atlet itu dalam ranking Asia dan dunia belum memuaskan.

Bagaimanapun, KOM masih boleh berpuas hati kerana tiga atlet mereka iaitu jaguh lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail, pemegang rekod kebangsaan lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa tersenarai.

Sementara itu, ditanya me­ngapa sepak takraw terus mendapat keistimewaan untuk kekal di dalam program atlet elit itu sejak mula diperkenalkan pada Februari 2016, pihak Program Podium jelas sukar memberikan rasionalnya, sebaliknya hanya menjawab mereka percaya sukan itu mampu menyumbang pingat kepada negara dalam Sukan Asia tahun depan.

Abdul Azim berkata, pihak ISN juga akan membantu meningkatkan prestasi pemain sepak takraw menggunakan kepakaran sains sukan dan dalam masa sama pencapaian sukan itu juga akan dile­takkan dalam pemerhatian utama Program Podium.

“Setiap atlet dan sukan dalam Program Podium akan dinilai dalam tempoh enam bulan, selepas ini jika tidak mencapai tahap memuaskan maka boleh disingkirkan, begitu juga sepak takraw.

“Sasaran pingat emas dalam Sukan Asia juga akan diletakkan kepada sepak takraw dan sekiranya gagal mereka akan dikeluarkan daripada senarai Program Podium,” jelasnya.

Sepanjang berada dalam Program Podium, sepak takraw bergelut dengan prestasi terutama melibatkan acara regu berpasukan.

Dalam Sukan SEA Ke-29 yang menawarkan enam pingat emas, skuad sepak takraw negara hanya mampu menang dua menerusi acara yang tidak disertai Thailand dan Myanmar.