Jenama High Peak mula memasuki pasaran tempatan bagi memenuhi keperluan golongan itu yang mementingkan peralatan perkhemahan dengan rekaan unik dan inovatif.

Pengarah Urusan United Fitness & Leisure (UFL) Sdn. Bhd., Datuk V. Radha Krishnan berkata, Malaysia menjadi negara pertama yang mengedar peralatan jenama High Peak di Asia Tenggara.

“Jenama ini sudah berada di lebih 20 buah negara di seluruh dunia dan kini Malaysia berada di dalam senarai tersebut.

“Jenama High Peak memilih Malaysia kerana percaya dengan potensi pasaran bagi industri sukan lasak di negara ini yang sedang berkembang baik,” katanya pada sidang media pengenalan produk High Peak di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Radha, sejak tahun 2000, aktiviti sukan lasak mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Justeru, katanya, peralatan yang sesuai dengan aktiviti yang dilakukan menjadi buruan penggemar sukan lasak seperti mendaki gunung.

Mengakui terdapat jenama peralatan perkhemahan dijual pada harga yang tinggi, katanya, mereka tidak mahu berkompromi dengan tahap kualiti yang ditawarkan.

“Ini bermakna, kualiti juga menjadi faktor penting bagi penggemar sukan lasak memilih peralatan yang sesuai. Disebabkan itu, kami membawa High Peak masuk ke pasaran tempatan, khusus untuk golongan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan High Peak International, Thomas Folkmar berkata, peralatan High Peak terhasil melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang begitu teliti bagi memastikan kualiti dan keselamatan pengguna terjamin.

Antara peralatan khusus untuk aktiviti perkhemahan yang dihasilkan jenama itu adalah pelbagai model dan saiz khemah, beg tidur, alas tidur, tilam angin dan aksesori perkhemahan yang lain.

Untuk pasaran Malaysia, sebanyak enam model khemah yang memuatkan daripada dua sehingga 10 orang dalam satu masa bakal dipasarkan di Malaysia.

Selain itu, sebanyak empat jenis beg tidur juga akan mula berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Menurut Folkmar, produk jenama High Peak disasarkan kepada golongan berkeluarga, kumpulan dan individu termasuk badan beruniform di sekolah mahupun penggemar aktiviti mendaki gunung.