Henin memenangi tujuh gelaran perseorangan Grand Slam dan ber­ada selama 117 minggu di anak tangga teratas ranking WTA, manakala Safin mengumpul tujuh mahkota kejuaraan utama dan bertahan selama sembilan minggu di kedudukan No. 1 dunia dalam ranking ATP.

Henin, 33, merupakan pemain Belgium pertama yang dipilih untuk berada dalam Dewan Kemasyhuran. Dia memenangi 43 gelaran perseorangan sepanjang kariernya sebelum bersara pada 2011, termasuk menjuarai Terbuka Australia 2004, Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2003 dan 2007 serta Terbuka Perancis pada 2003, 2005, 2006 dan 2007.

“Ini satu penghormatan yang besar. Saya hanya berusia lima tahun ketika mula bermain tenis dan impian saya ialah untuk muncul juara.

“Kesemua yang berlaku selepas itu merupakan impian yang menjadi kenyataan, termasuk merangkul kesemua kejuaraan serta Grand Slams, dan setiap emosi yang saya rasakan sepanjang bergelar pemain, masih kekal penting di dalam kehidupan saya,” kata Henin.

Safin, 36, juga merupakan pemain Rusia pertama yang berada di dalam Dewan Kemasyhuran. Dia telah memenangi 15 gelaran, termasuk Terbuka AS pada 2000 dan Terbuka Australia 2005, sebelum bersara pada 2009.

“Saya sangat gembira kerana dipilih untuk berada di dalam Dewan Kemasyhuran. Menjadi sebahagian daripada Dewan Kemasyhuran merupakan impian setiap atlet.

“Saya amat menghargai kerana terpilih dan berbangga mewakili tenis Rusia untuk berada di sam­ping legenda tenis,” kata Safin. – AFP