Dalam aksi di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, di sini menyaksikan Wendy kembali meraih kemenangan selepas lapan bulan digantung akibat kesalahan doping.

Bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri, mereka meraih 298.23 mata ketinggalan di belakang juara dunia China, Chang Yani-Shi Tingmao yang meraih pingat emas dengan 335.70 mata manakala Kim Kwang Hui-Kim Mi Hwa dari Korea Utara meraih pingat gangsa dengan 282.78 mata.

Kejayaan itu adalah sesuatu yang manis buat Wendy terutama selepas mengalami detik sukar selain bergelut untuk kembali cergas selepas didapati positif doping semasa Sukan SEA 2017.

"Saya gembira kerana berjaya kembali beraksi dan menyumbang pingat buat negara.

"Seperti dijangka, China merupakan pencabar utama dalam acara terjun," katanya.

Sebelum ini, Wendy meraih pingat perak dalam acara sama di Guangzhou 2010 bersama Leong Mun Yee dan bersama Cheong Jun Hoong di Incheon 2014.

Sementara itu, pasangan negara, Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya sekadar menamatkan saingan 10m platform seirama lelaki di kedudukan kelima dengan catatan 356.52 mata. - UTUSAN