Perenang sensasi Singapura ini mengejutkan sukan dunia apabila mengalahkan legenda renang Amerika Syarikat (AS) yang juga idolanya, Michael Phelps untuk merangkul pingat emas 100 meter kuak kupu-kupu lelaki dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio.

Siapa sangka perenang dari Asia Tenggara mampu meraih kemenangan pada temasya sukan terulung dunia itu, dan sudah pasti kelibatnya bakal menarik kehadiran penonton ke Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sepanjang acara renang berlangsung dari 21 hingga 26 Ogos.

Sejak melakar kejayaan sensasi di Rio, Schooling, yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Colin dan May sering menjadi tumpuan media antarabangsa. Bukan kariernya sahaja yang menjadi tajuk utama berita tetapi peminat juga mengikuti rapat kisah peribadi perenang berusia 22 tahun itu, terutama kisah percintaannya.

Ramai yang tahu Casey Shomaker adalah wanita yang berjaya mencuri hati ‘budak emas’ Singapura itu, namun mungkin tidak ramai yang tahu wanita yang berasal dari Austin itu juga memiliki latar belakang hebat.

Berusia 23 tahun, Shomaker merupakan seorang pelajar pintar yang baru menamatkan pengajian sarjana Biokimia. Dia kemudian melanjutkan pengajian dalam ijazah kedoktoran undang-undang.

Memulakan pengajian di Universiti Boston sebelum bertukar ke Universiti Texas, iaitu tempat pengajian Schooling, dia kini merupakan pelatih undang-undang Persatuan Automotif Amerika Syarikat (USAA) selain pembantu guaman dalam menyediakan dokumen pertuduhan.

Shomaker juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Remaja 2010 dalam acara bola tampar, malah pada 2011 dia pernah memenangi anugerah tertinggi di sekolahnya kerana kecemerlangan yang dilakar dalam bidang sukan serta akademik.

Ibu Schooling, May Schooling secara terbuka mengakui, anaknya memiliki ‘ramai kenalan wanita’ dan gembira kerana anaknya itu memiliki teman wanita.

“Ketika anak saya tiba di lapangan terbang (dari Rio), ‘salah seorang kawan wanita’ menyambutnya.

“Ingin saya nyatakan bahawa saya gembira kerana dia ada teman wanita, jika tidak saya akan menjadi sangat bimbang. Dia memiliki ramai kawan wanita,” kata May.

Sementara itu, Shomaker turut memuat naik gambarnya bersama Schooling yang mencuri tumpuan dalam laman Instagram, tidak lama selepas teman lelakinya pulang dari temasya Rio.

“Terima kasih kerana menjaganya dengan baik Singapura! Saya gembira berjaya mendapatkannya semula,” tulis Shomaker.

Bekas teman lelaki Shomaker sebelum Schooling juga adalah bintang renang di Universiti Texas iaitu Wyatt Collins.

Pasangan itu bercinta pada 2014 dan Collin pernah memenangi kejuaraan dalam acara renang serta terjun pada Kejohanan Akuatik Nasional (NCAA) 2016.

Schooling meneruskan pengajiannya di Universiti Texas di Austin dan meneruskan latihan renangnya di sana bersama pasukan renang Texas Longhorns di bawah kendalian Ketua Jurulatih Renang AS, Eddie Reese. – AGENSI