Jun Hoong memahat nama sebagai penerjun negara pertama bergelar juara dunia apabila me­rangkul pingat emas dalam acara terjun platform 10 meter di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, bulan lalu.

Siapa sangka ratu terjun negara itu mampu memecah dominasi China dalam acara yang sudah lama dikuasai negara tembok besar itu dengan menewaskan pemenang pingat emas Olimpik Rio, Ren Qian dan seorang lagi penerjun dari negara itu, Si Yajie.

Dengan status itu, sudah pasti harapan besar disandarkan kepadanya apabila acara terjun membuka tirainya pada 26 hingga 30 Ogos ini di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Tahun 2016 dan 2017 ibarat tahun yang membawa tuah kepada Jun Hoong apabila me­­raih pingat pe­rak di Rio bersama Pandelela Rinong sebelum itu, disusuli kejuara­an dunia.

Bagaimanapun pasti ramai tidak mengetahui bahawa hati milik pe­nerjun dari Ipoh, Perak itu masih belum dimiliki oleh mana-mana jejaka lagi.

Mungkin kerana terlalu fokus menjalani latihan di kolam renang yang menjadi sebahagian daripada hidup Jun Hoong, 27, membuat dia tidak terlintas untuk memikirkan soal percintaan.

“Saya mula menceburi sukan terjun seawal umur sembilan tahun, ketika itu ada seorang jurulatih dari Bukit Jalil datang ke sekolah saya untuk mencari bakat baharu. Pada mulanya saya tidak terlalu berminat dengan sukan ini namun lama-kelamaan saya semakin serasi.

“Sejujurnya saya masih tidak memikirkan perkara itu kerana terlalu memberi fokus kepada latihan dan kejohanan. Setiap kejayaan yang diperoleh pasti memerlukan pengorbanan dan buat masa ini saya belum fikir perkara itu (soal cinta).

“Kalau ada jodoh ada lah...,” katanya dengan nada berseloroh.

Tambahnya, memiliki raut wajah yang sedikit garang dan tampak sombong mungkin membuat orang kali pertama melihatnya memberikan persepsi dia seorang yang sukar untuk didekati.

“Kalau lihat saya kali pertama mesti orang ingat saya garang kerana memiliki wajah seperti itu, tetapi jika sudah kenal rapat pasti berbeza kerana perwatakan saya peramah dan ceria. Cuma jika waktu latihan dan kejohanan saya akan memberi fokus sepenuhnya,” ujarnya yang mempu­nyai senyuman manis.

Jun Hoong mula mewakili negara dalam temasya sukan terbesar Asia Tenggara bermula pada tahun 2003, 2005, 2007, 2009, 2011, 2013, 2015.

Biarpun sibuk dengan latihan dan kejohanan namun Jun Hoong yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik itu akan memilih untuk menghabiskan masa lapang apabila diberikan cuti berehat dengan keluarga.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga turut meluangkan masa bersama rakan-rakannya dengan melakukan aktiviti menonton wayang dan karaoke.

“Tahun ini paling gembira apabila dapat bersama keluarga meraikan Tahun Baharu Cina buat pertama kali selepas lima tahun kerana menjalani latihan di luar negara.

“Saya juga suka keluar menonton wayang dan karaoke bersama rakan jika ada masa terluang tetapi secara keseluruhan kehidupan saya banyak dihabiskan di kolam renang,” jelasnya.